Wednesday 8 February 2012

Ekonomi 2012 sangat kritikal


KUALA LUMPUR 6 Feb. – Ketidaktentuan ekonomi global tahun ini ditambah dengan keputusan berhubung dasar-dasar yang sukar, dijangka menjadikan tinjauan hadapan 2012 sangat kritikal terutamanya yang membabitkan negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.

Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank, Steve Brice berkata, permulaan bagi tahun 2012 adalah lebih buruk berbanding awal tahun lalu yang di mana Eropah masih belum mampu menyelesaikan masalah hutangnya dan ia dijangka diheret kepada kemelesetan.

Dengan itu, menurut beliau, Standard Chartered memperkenalkan strategi yang dipanggil VIP bagi mengemudi ekonomi di dalam iklim yang tidak menentu ini.

VIP yang terdiri daripada akronim kemeruapan, inflasi dan bayaran merangka strategi bagi membolehkan setiap kemeruapan diuruskan dengan baik, menghalang inflasi dan terakhir adalah memastikan setiap pelaburan mendapat bayaran ataupun pulangan.

Mengulas lanjut, Brice berkata, pasaran pada tahun ini sangat tidak menentu selain ditentukan oleh polisi, sebarang perubahan terhadap polisi akan mendorong kenaikan atau penurunan pasaran.

Katanya, portfolio yang boleh mengurangkan risiko negatif perlu direka dan pada masa sama pelabur perlu meneruskan pendedahan yang mencukupi bagi membantu pemulihan semula.

“Ini termasuk strategi alternatif yang membenarkan pengurus dana untuk memilih pelaburan jangka panjang dan pendek kerana kemeruapan yang diurus dengan baik adalah kunci utama bagi memulihkan semula ekonomi,” katanya.

Kumpulan pelaburan yang menjadi pilihan beliau adalah ekuiti, komoditi dan bon yang mempunyai pulangan tinggi.

Tambah Brice, bagi mengekang inflasi pula, emas dan ekuiti emas kekal sebagai pelaburan pilihan bank tersebut untuk mengurus ancaman kehilangan kuasa beli.

Ini kerana menurut beliau, inflasi sering menjadi ancaman kepada penyimpan.

Di bawah strategi ketiga iaitu mendapatkan pulangan, Brice mencadangkan agar pelabur mempelbagaikan pelaburan yang menjadi kunci utama kejayaan pelaburan pada tahun ini.

Beliau juga melihat pelaburan yang dijana tunai seperti ekuiti yang membayar dividen tinggi serta bon dengan hasil tinggi sebagai pilihan kerana ia mampu memberi prestasi positif ketika pertumbuhan ekonomi perlahan sekali gus memberi peluang kepada pelabur untuk menikmati faedahnya.
 
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0207&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm&arc=hive

Sunday 5 February 2012

ARKIB : Harga emas dunia dijangka meningkat

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Harga emas dunia dijangka meningkat mencecah AS$1,975 (RM5,925) seaun pada suku keempat tahun ini berikutan sentimen yang positif, kata Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank, Steve Brice hari ini.
Seorang penjual di sebuah kedai emas di Tokyo menunjukkan kepingan emas yang menyaksikan harganya semakin meningkat di pasaran dunia. - AFP

Harga emas ditutup pada AS$$1,756.80 (RM5,268) seaun hari ini.
Beliau berkata, kenaikan itu didorong oleh beberapa faktor termasuk paras hutang yang tinggi di Amerika Syarikat, bekalannya yang terhad dan peningkatan permintaan daripada China dan India.

Brice berkata, emas merupakan pelaburan yang sangat baik kerana ia menawarkan kepelbagaian selain memberi pulangan yang menguntungkan.

Malah iklim ekonomi yang tidak menentu ketika ini, turut menekan harga komoditi itu untuk melonjak berikutan permintaan yang tinggi, kata beliau lagi.

Brice berkata demikian ketika taklimat media tentang Tinjauan Masa Hadapan Suku Pertama 2012 Standard Chartered di sini hari ini.

Beliau menjelaskan permintaan yang tinggi juga datang dari negara-negara seperti India dan China tetapi juga bank-bank pusat yang ingin meningkatkan simpanan emas sebagai pelindung inflasi.

Menurut Brice, bekalan yang terhad di sebalik permintaan yang semakin bertambah turut mendorong peningkatan harga emas menjelang hujung tahun ini.

Sementara itu, beliau juga meramalkan Ringgit mengukuh sehingga RM3.00 berbanding AS$1 sekiranya Amerika Syarikat melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang ketiga (third qualitative easing) pada separuh kedua tahun ini.

Katanya, sekiranya pakej rangsangan tersebut dilaksanakan ia bakal mendorong pembelian risiko (risk buying) oleh pelabur seperti mana yang telah berlaku semasa pakej-pakej terdahulu dilaksanakan.

Brice juga menjangkakan Bank Negara Malaysia akan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada suku pertama dan 25 mata asas lagi pada suku kedua tahun ini bagi terus merangsang pertumbuhan domestik.

Sumber : http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Thursday 2 February 2012

Artikel : Labur emas mengikut syariah


Umat Islam perlu mengembalikan fungsi asas emas sebagai mata wang dan aset simpanan. - Gambar hiasa
 
 EMAS pada sepanjang zaman dianggap sebagai simbol kekayaan, kemasyhuran dan kecantikan. Dalam sejarah ekonomi Islam, emas merupakan mata wang dan aset simpanan yang baik.

Teks al-Quran dan hadis banyak menjelaskan kepentingan emas dalam kehidupan manusia. Emas dirujuk sebagai mata wang dinar dalam firman-Nya: Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya. (ali-'Imran: 75)

Selain digambarkan sebagai harta kekayaan dalam surah ali-'Imran: 14 dan 91, al-Nisa': 20, al-Taubah: 34, al-Zukhruf:33-35, al-Quran juga mendedahkan emas akan kekal sebagai barang berharga sehingga hari akhirat seperti dalam surah al-Israk: 93, al-Kahfi: 31, al-Hajj: 23, al-Faathir:33, al-Zukhruf: 53, al-Zukhruf: 71 dan al-Insan: 21.

Selain dijadikan barang kemas, emas juga menyimpan kekayaan yang paling unggul. Ini kerana ia tidak boleh dibinasakan dan tidak hilang nilainya. Malah, nilainya sentiasa meningkat dalam jangka masa panjang.

Ini dibuktikan dengan kenaikan harga emas daripada RM1,740.65/per aun kepada RM5,890.93/per aun, iaitu kenaikan sebanyak 238 peratus harga emas dalam tempoh lima tahun (2006 hingga 2011) atau secara purata kenaikan setahun adalah 48 peratus.

Kebenaran emas sebagai penyimpan nilai yang stabil boleh disaksikan melalui nilainya yang hampir sama sejak zaman Rasulullah SAW hingga sekarang.

Dalam sebuah hadis daripada Syahib bin Garqadah berkata: Saya mendengar penduduk bercerita tentang 'Urwah, bahawa Nabi SAW memberikan wang satu dinar kepadanya agar dibeli seekor kambing untuk beliau, lalu dengan wang satu dinar tersebut ia membeli dua ekor kambing, kemudian ia jual satu ekor dengan harga satu dinar. Ia pulang membawa satu dinar dan satu ekor kambing. Nabi SAW mendoakannya dengan keberkatan dalam jual belinya. Seandainya 'Urwah membeli tanah pun, ia pasti beruntung. (riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan harga seekor kambing pada zaman Rasulullah SAW lebih kurang satu dinar. Agak menarik, kestabilan harga emas terbukti dengan harga seekor kambing pada zaman kini juga lebih kurang RM750 atau satu dinar (bersamaan nilaian 4.25 gram emas).

Namun, akibat pelbagai hambatan ekonomi dunia fungsi dinar emas kini telah berubah kepada suatu komoditi yang diniagakan.

Perubahan landskap ekonomi dunia juga menimbulkan keghairahan di kalangan umat Islam di negara kita untuk melakukan urus niaga terhadap emas dalam bentuk pelaburan sama ada bentuk fizikal seperti siling, jongkong, barang kemas atau dalam bentuk akaun pelaburan emas.

Situasi ini menyebabkan kadang-kadang menyebabkan masyarakat yang lupa batas-batas syariah berkaitan urus niaga emas, terutama terjebak dengan amalan riba yang haram dan dikutuk dalam Islam, tidak memenuhi syarat kontrak dan sebagainya.

Mengikut muamalat Islam, urusniaga jual beli emas adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf, iaitu jual beli mata wang. Maksudnya, kita membeli atau menjual emas dengan menggunakan mata wang seperti ringgit atau dolar.

Secara umum, urus niaga emas hendaklah memenuhi syarat utama kontrak al-Sarf yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam riwayat oleh 'Ubadah bin al-Samit: Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika berlainan jenis, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasai, dan Ahmad).

Hadis ini menjelaskan syarat transaksi emas dengan mata wang iaitu:
n Serahan (qabd) barangan emas dan harga berlaku antara penjual dan pembeli (atau wakilnya) dalam majlis akad sebelum berpisah. Serahan emas oleh penjual boleh berlaku dalam bentuk hakiki (serahan fizikal emas) atau secara hukmi (penguasaan dan kemampuan mengendali/tasarruf ke atas emas oleh pembeli).

Serahan harga oleh pembeli pula boleh berlaku melalui pembayaran tunai, cek, kad debit atau kad kredit. Serahan ini mestilah berlaku dalam satu majlis akad antara penjual dan pembeli (atau wakil) sama ada melalui pertemuan fizikal, khidmat pesanan ringkas (SMS), telefon atau emel.

Serahan barangan emas dan harga hendaklah berlaku secara on the spot tanpa ada sebarang tempoh penangguhan masa. Justeru, pembelian emas secara bayaran ansuran atau hutang tidak dibenarkan syarak.

Walaupun begitu, kontrak jual beli emas yang melibatkan pembayaran cek atau pemindahan wang yang memerlukan tempoh matang seperti tiga hari bekerja dianggap masih belum berlaku akad tersebut hinggalah penjual mendapat bayarannya.

Apabila mendapat bayaran, kontrak akan berlaku dan penjual hendaklah menyerahkan emas kepada pembeli serta merta.

Suatu perkara yang penting dalam jual beli emas adalah berkaitan lock price (kunci harga), iaitu pembeli meletakkan perjanjian (wa'd) untuk membeli atau menjual pada harga tertentu.

Maksudnya, walaupun harga emas naik atau turun, pembeli dapat membelinya dengan harga yang telah dikunci tersebut.

Berhubung dengan perkara ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah memberikan panduan seperti berikut:
Wa'd boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa'd dari sebelah pihak dan bukannya muwa'adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa'd dalam konteks ini adalah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu.

Perjanjian pembelian ini dinamakan 'kunci harga'. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.

Selain itu, terdapat beberapa syarat-syarat lain terutama tentang fizikal emas dan harga yang mesti diambil berat oleh pelabur-pelabur emas, antaranya :

l Emas hendaklah wujud, dimiliki penuh oleh penjual dan boleh diserahkan kepada pembeli sekurang-kurangnya dalam tempoh uruf (kebiasaan);

l Emas hendaklah diketahui sifat fizikal, timbangan berat dan ketulenannya sama ada melihat sendiri fizikalnya atau melalui contoh pesanan.

l Nilai harga emas hendaklah diketahui dan dipersetujui oleh penjual dan pembeli.

l Kontrak jual beli hendaklah dilakukan atas dasar persetujuan dan keredaan, tanpa wujudnya sebarang paksaan, tipu helah atau sebarang penyembunyian keaiban.

Akhirnya, perlu diingatkan bahawa umat Islam perlu mengembalikan fungsi asas emas sebagai mata wang dan aset simpanan


Jika terlibat dalam pelaburan emas yang menjanjikan bahagian sementara. Seharusnya kita tidak terjebak dengan amalan yang dilarang syarak seperti riba, perjudian, spekulasi, penipuan dan sebagainya.