KUALA LUMPUR 6 Feb. – Ketidaktentuan ekonomi global tahun ini
ditambah dengan keputusan berhubung dasar-dasar yang sukar, dijangka
menjadikan tinjauan hadapan 2012 sangat kritikal terutamanya yang
membabitkan negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan
China.
Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank, Steve Brice
berkata, permulaan bagi tahun 2012 adalah lebih buruk berbanding awal
tahun lalu yang di mana Eropah masih belum mampu menyelesaikan masalah
hutangnya dan ia dijangka diheret kepada kemelesetan.
Dengan itu, menurut beliau, Standard Chartered memperkenalkan
strategi yang dipanggil VIP bagi mengemudi ekonomi di dalam iklim yang
tidak menentu ini.
VIP yang terdiri daripada akronim kemeruapan, inflasi dan bayaran
merangka strategi bagi membolehkan setiap kemeruapan diuruskan dengan
baik, menghalang inflasi dan terakhir adalah memastikan setiap pelaburan
mendapat bayaran ataupun pulangan.
Mengulas lanjut, Brice berkata, pasaran pada tahun ini sangat tidak
menentu selain ditentukan oleh polisi, sebarang perubahan terhadap
polisi akan mendorong kenaikan atau penurunan pasaran.
Katanya, portfolio yang boleh mengurangkan risiko negatif perlu
direka dan pada masa sama pelabur perlu meneruskan pendedahan yang
mencukupi bagi membantu pemulihan semula.
“Ini termasuk strategi alternatif yang membenarkan pengurus dana
untuk memilih pelaburan jangka panjang dan pendek kerana kemeruapan yang
diurus dengan baik adalah kunci utama bagi memulihkan semula ekonomi,”
katanya.
Kumpulan pelaburan yang menjadi pilihan beliau adalah ekuiti, komoditi dan bon yang mempunyai pulangan tinggi.
Tambah Brice, bagi mengekang inflasi pula, emas dan ekuiti emas kekal
sebagai pelaburan pilihan bank tersebut untuk mengurus ancaman
kehilangan kuasa beli.
Ini kerana menurut beliau, inflasi sering menjadi ancaman kepada penyimpan.
Di bawah strategi ketiga iaitu mendapatkan pulangan, Brice
mencadangkan agar pelabur mempelbagaikan pelaburan yang menjadi kunci
utama kejayaan pelaburan pada tahun ini.
Beliau juga melihat pelaburan yang dijana tunai seperti ekuiti yang
membayar dividen tinggi serta bon dengan hasil tinggi sebagai pilihan
kerana ia mampu memberi prestasi positif ketika pertumbuhan ekonomi
perlahan sekali gus memberi peluang kepada pelabur untuk menikmati
faedahnya.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0207&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm&arc=hive
Great post. Looking forward to reading more. Thanks for taking the time to write this.
ReplyDeletecloud service provider